May 30, 2008
PENDIDIKAN tanpa sempadan tidak lagi mustahil pada abad ke-21 ini dengan kewujudan teknologi yang membolehkan penyampaian pendidikan tanpa batasan.
Justeru, peluang terbuka luas bagi sesiapa yang berhasrat untuk memiliki kelayakan dari negara luar melalui pengajian jarak jauh tanpa meninggalkan negara asal masing-masing.
Begitulah situasi Peter Fenrich, 51, seorang pelajar sarjana di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) yang kini melanjutkan pengajian peringkat ijazah kedoktoran sejak 2006.
Fenrich yang berasal dari Kanada sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak berusia 15 hingga 21 tahun, masing-masing menuntut di universiti dan sekolah menengah di sana.
Beliau yang memiliki ijazah sarjana dalam bidang reka bentuk berpandu bekerja sebagai perunding pembangunan berpandu di Institut Teknologi British Columbia, yang menawarkan pelbagai program teknikal dan perdagangan di mana sijil, diploma dan ijazah sarjana muda yang dikeluarkan dipandang tinggi.
“Tugas saya adalah membantu perkembangan fakulti dari aspek kurikulum dan profesional. Ia kerjaya yang mencabar namun memberi kepuasan penuh pada diri saya,” katanya.
Fenrich kemudian membuat keputusan untuk memulakan pengajian peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) dan mencari institusi pengajian tinggi yang dapat memenuhi keperluannya.
“Saya ingin belajar secara atas talian, tapi tiada institusi di Kanada menawarkan program PhD dalam bidang pendidikan yang membuatkan saya memilih Amerika Syarikat.
“Namun di Amerika Syarikat, saya masih belum berjumpa dengan kursus diingini, ditambah dengan kos pengajian yang melebihi kemampuan,” katanya.
Akhirnya, rakan sekerja iklan yang bertugas untuk ‘Commonwealth of Learning’, sebuah organisasi antara kerajaan yang dibentuk oleh Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel menjadi penyelesaian masalahnya untuk memilih institusi pengajian apabila mengesyorkan OUM.
“Pada mulanya, saya tidak menerima cadangan mereka bulat-bulat, namun selepas mengkaji dengan terperinci, timbul pula rasa yakin dan saya terus membuat keputusan untuk belajar di OUM,” katanya.
Fenrich berkata, kaedah pembelajaran atas talian membawa cabaran tersendiri termasuk menjadi lebih berdikari dan meningkatkan keupayaan diri bagi kejayaan yang cemerlang.
“Ada kalanya saya mengambil dua kursus pada satu masa yang mampu menguji kemampuan saya, seperti berdepan dengan pengurusan masa bagi mengelak sebarang masalah,” katanya.
Menurutnya, pembelajaran jarak jauh dan terbuka adalah pilihan yang penting bagi orang ramai, terutama yang sudah bekerja kerana mereka mahu melanjutkan pelajaran bagi meningkatkan potensi diri sendiri.
Justeru, katanya, pembelajaran secara atas talian yang fleksibel memberi ruang kepada pelajar untuk menyambung pengajian tanpa perlu berhenti kerja.
OUM yang ditubuhkan pada tahun 2000 adalah institusi pengajian jarak jauh terbuka yang pertama di Malaysia. OUM menerima kemasukan kelompok pertama pelajar seramai 753 orang pada Ogos 2001 dan sejak itu, pengambilan pelajar secara keseluruhannya meningkat sehingga melebihi 67,000 orang.
Sejajar dengan moto ‘Universiti Untuk Semua’, OUM berpegang kepada falsafah di mana pendidikan seharusnya terbuka kepada semua, tidak mengira masa, tempat, usia dan latar belakang ekonomi.
OUM menawarkan 51 program peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana merangkumi pelbagai bidang termasuk sains sosial dan gunaan, teknologi maklumat, kejuruteraan, perniagaan dan pendidikan.
Untuk maklumat lanjut, hubungi 03-2773 2002, e-mel enquiries@oum.edu.my atau layari www.oum.edu.my
Sumber: http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20080530100721/Article/index_html
No comments:
Post a Comment