2011/06/02
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sudah melakukan kajian dan menyerahkan beberapa cadangan mengenai semakan semula skim gaji pensyarah di semua universiti awam termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk tindakan lanjut.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebarang pelaksanaan kenaikan pangkat atau gred pensyarah di semua universiti awam bergantung kepada pihak pengurusan pusat pengajian berkenaan.
Katanya, pada masa sama kementerian juga akan sentiasa melakukan kajian dan perbincangan dengan pihak pengurusan dan wakil tenaga akademik bagi membolehkan mereka menikmati skim gaji lebih baik berbanding agensi lain. “Sebenarnya kebanyakan pensyarah universiti awam sekarang menikmati skim gaji yang lebih tinggi berbanding kakitangan kerajaan lain termasuk guru Kementerian Pelajaran.
“Malah, sekiranya seseorang pensyarah itu mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (PhD), mereka akan terus ditawarkan ke Gred DM51, manakala proses kenaikan pangkat dan gaji boleh ditentukan sendiri oleh universiti terbabit,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan majlis pelancaran Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya semalam.
Mohamed Khaled mengulas dakwaan dua kesatuan mewakili pendidik dan kakitangan akademik UiTM meminta universiti itu menyemak semula skim gaji mereka yang didakwa lebih 10 tahun tidak disemak.
Persatuan Akademik UiTM (UTiMAS) dan Kesatuan Kakitangan Akademik UiTM (MITASA), dilaporkan berkata kebajikan dan maruah kakitangan akademik universiti itu perlu dibela dan dimartabatkan kembali selaras dengan khidmat bakti mereka.
No comments:
Post a Comment