PUTRAJAYA, 18 April (Hrkh) - Oleh Salmiyah Harun
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi 1 Dato' Idris Harun berkata, pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1972 hanya meliputi penglibatan mahasiswa dalam kemasyarakatan bukannya berkaitan politik.
Sehubugan itu beliau menegaskan pelajar universiti tidak boleh terlibat dalam mana-mana politik baik politik kerajaan ataupun pembangkang.
Katanya, pindaan itu akan dibuat dalam mesyuarat penggal pertama Dewan Rakyat di Parlimen pada tahun ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Hak Asasi Manusia dan Pengajian Tinggi: Hak dan Tanggungjawab di Auditorium Kompleks E, Putrajaya semalam.
"Kita akan meminda beberapa artikel atau fasa yang terkandung dalam Auku yang boleh sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada pelajar untuk mengembangkan keupayaan mereka di dalam bidang-bidang berkaitan dengan kemasyarakatan," katanya.
Katanya, pindaan itu tidak melibatkan soal politik tetapi lebih kepada kegiatan kemasyarakatan yang akan memberi kelonggaran kepada mahasiswa untuk membabitkan diri dalam Pertubuhan Bukan Kerajaan yang dibenarkan.
"Kita tidak mahu mahasiswa disalahgunakan seperti menjadi ejen politik oleh mana-mana parti,".
"Apabila mereka keluar nanti menjadi seorang 'korporat structure', kita tidak mahu esok-esok apabila keluar menjadi ceo bank sahaja, tetapi apabila disuruh terlibat dalam Belia 4B dia (pelajar) boleh manfaatkan," katanya.
Dalam pada itu, Idris turut menjelaskan peranan yang dimainkan oleh kementeriannya dalam Kumpulan Kerja Kecil Mengenai Pendidikan Hak Asasi Manusia untuk Institut Pengajian Tinggi Awam yang ditubuhkan oleh Suhakam.
Katanya, dengan wujudnya jawatankuasa ini kementerian bertindak sebagai 'monitor' dalam setiap apa yang dijalankan oleh Suhakam, memandangkan program yang dijalankan bersifat ilmiah bukannya revolusi ataupun demonstrasi.
"Kita akan mulakan dengan proses pengetahuan secara 'small' dulu dengan beberapa analisis yang akan dibuat, wakil-wakil IPTA juga akan membawa idea serta berbincang tentang pembelajaran hak asasi manusia kepada kementerian," katanya.
Turut memberi ucapan dalam seminar sehari itu, antaranya Timbalan Pengerusi Suhakam Tan Sri Datuk Seri Panglima Simon Sipaun dan Pesuruhjaya Suhakam Muhammad Uthman El-Muhammady dengan ucaptama yang bertajuk 'Hak Asasi Manusia dan Institusi Pengajian Tinggi'.
Dalam sesi dialog tiga ahli panel dijemput iaitu Prof Dr Shad Saleem Faruqi, Pelajar IPT Danial Abdul Rahman dan Pesuruhjaya Suhakam Prof Emeritus Dato' Dr Khoo Kay Kim.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment