Wednesday, August 5, 2009

Kontroversi baru: Penyelewengan tesis PhD Jab Pengajian India - MStar

5 Ogos 2009

UM juga terkejut jumlah luar biasa penerima ijazah kelas pertama

Oleh ROZAID A. RAHMAN

PETALING JAYA: Isu dan kontroversi pelantikan ketua Jabatan Pengajian India, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM) nampaknya tidak berakhir di situ semata-mata apabila siasatan mendapati berlakunya penyelewengan ke atas urusan pemeriksaan tesis calon ijazah doktor falsafah dan juga penganugerahan ijazah sarjana muda dengan kepujian kelas pertama pada jumlah yang sangat luar biasa.

Hasil siasatan yang dijalankan oleh Pejabat Naib Canselor juga mendapati, ini tidak pernah berlaku pada mana-mana jabatan lain di UM.

Pejabat Naib Canselor melihat kejadian ini sebagai "suatu perkara yang tidak boleh diterima dalam urusan penganugerahan ijazah.

"Ia telah berlaku sekian lama dan nampaknya pihak Fakulti tidak berkemampuan untuk memperbetulkannya.

"Setelah menilai keadaan yang berlaku di Jabatan ini, saya telah membuat kesimpulan bahawa jabatan ini dengan kepimpinan yang ada pada masa ini tidak mampu untuk memperbetulkan keadaan yang tidak munasabah ini," kata Naib Canselor UM, Datuk Dr Ghauth Jasmon dalam laporan bertulisnya kepada Menteri Pengajian Tinggi baru-baru ini.

Dalam laporannya itu, mStar Online difahamkan, Dr Ghauth telah menyenaraikan lampiran statistik jumlah calon yang memperolehi ijazah sarjana muda di Jabatan Pengajian India pada jumlah yang tidak munasabah iaitu melebihi 50% daripada jumlah calon yang dianugerahkan ijazah sejak sesi pengajian 2003/04.

Malah bagi sesi 2006/07, jumlah calon yang memperolehi kelulusan dengan ijazah kelas pertama melebihi 64%.

Ekoran daripada penganugerahan ijazah kelas pertama pada jumlah yang sangat luar biasa itu, Dr Ghauth telah mengarahkan pihak fakulti supaya melakukan proses pembetulan ke atas sistem akademik di Jabatan Pengajian India untuk memastikan perkara-perkara yang kelihatan tidak beretika tidak berulang lagi.

Sementara itu, Dr Ghauth turut mendapati pada awal tahun ini, telah berlaku satu penyelewengan dalam urusan pemeriksaan tesis calon ijazah doktor falsafah (PhD) di jabatan yang sama.

"Hasil siasatan yang dijalankan oleh Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial akhirnya telah mendapati berlakunya perkara-perkara yang tidak beretika dalam pengurusan pemeriksaan tesis calon PhD tersebut oleh pemeriksa luar daripada dua buah universiti dari India," kata sumber tersebut kepada mStar Online.

Malah siasatan itu juga mendapati, salah seorang pemeriksa luar yang dilantik oleh Jabatan Pengajian India UM untuk menyelia tesis pelajar PhD tersebut telah "dipaksa" untuk menyiapkan laporannya dalam tempoh tiga hari.

Dan oleh kerana terdapatnya beberapa keraguan dalam Laporan Pemeriksa Luar dan isu kerahsiaan pemeriksaan yang tidak terjamin, maka pihak fakulti yang menjalankan siasatan tersebut telah mengesyorkan supaya laporan oleh pemeriksa luar dan juga pemeriksa dalaman bagi calon PhD yang terlibat ditolak.

Sebaliknya mereka telah mencadangkan supaya tesis calon berkenaan diperiksa semula oleh Pemeriksa Luar dan Pemeriksa Dalaman yang baru.

No comments: