Monday, July 18, 2011

1,022 geran penyelidikan bernilai RM178.4 juta diluluskan - Berita Harian

18 Julai 2011

PUTRAJAYA: Sejumlah RM178.4 juta dana penyelidikan untuk 1,022 geran penyelidikan membabitkan penyelidik daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Institusi Penyelidikan dan Jabatan Pengajian Politeknik, sudah diluluskan bagi fasa pertama dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada RM741 juta dana penyelidikan yang diperuntukkan kepada kementerian.

"Ia adalah peningkatan 260 peratus atau hampir tiga kali ganda daripada jumlah yang diterima kementerian dalam RMKe-9 bagi program pembangunan dan penyelidikan (R&D) untuk tempoh dua tahun pertama pelaksanaannya mulai tahun ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Dana Penyelidikan Kementerian Pengajian Tinggi dengan tema "Bekerja untuk Malaysia" di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, kementerian sudah menstruktur semula dana penyelidikan dengan mewujudkan empat lagi program geran penyelidikan baru iaitu Skim Geran Penyelidikan Eksploratori, Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS), Skim Geran Penyelidikan Pembangunan Prototaip (PRGS) serta Dana Insentif Penyelidikan sebagai tambahan kepada Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) yang sedia ada.

"Ini adalah satu ruang kepada IPTS untuk bersama-sama dalam soal ini, bagi universiti kita untuk turut sama terlibat dalam R&D. Mungkin sebelum ini, IPTS tidak ada peluang untuk mendapat dana, sekarang ini, kita dah buka, jadi ini bermakna potensi untuk mereka membangunkannya.

"Jika mereka benar-benar mahu terbabit dalam soal ini, untuk mendapatkan peluang diperuntukkan geran, sudah tentu mereka akan mengambil pensyarah terdiri daripada kalangan yang mempunyai PHd yang turut memberi kebaikan kepada IPTS tersebut," katanya. - BERNAMA

No comments: